Selasa, 28 Januari 2020 | 9:49pm
Remaja yang dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran pada 14 September 2017. - Foto BERNAMA

'Saya mahu dia jadi lebih baik selepas ini'

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Dia dibebaskan dan saya mahu selepas ini dia menjadi lebih baik daripada sebelum ini,” kata bapa remaja lelaki yang dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran menyayat hati, hampir tiga tahun lalu.

Ditanya media apakah perancangan untuk anaknya selepas ini, bapa berusia 56 tahun itu membayangkan kemungkinan menghantar anaknya menyambung pelajaran.

“Harapan tentulah mak ayah mahu anaknya menjadi yang baik, tetapi ini sudah ketentuan dia (anaknya) pak cik terima,” katanya kepada media selepas keputusan di akhir kes pendakwaan, hari ini.

Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 19 tahun itu ketika ditemui media berkata: “Tak boleh nak cakap apa-apa.”

Dia yang memakai baju kemeja-T putih dan berseluar jeans biru kemudian dipeluk erat oleh bapanya selepas keluar mahkamah.

Remaja itu mengangguk ketika media bertanyakan sama ada berasa sedih apabila rakannya diperintahkan membela diri atas pertuduhan sama.

Dua beranak itu kemudiannya melambai ke arah pihak media sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi di sini turut memerintahkan rakan remaja itu, juga berusia 19 tahun membela diri atas pertuduhan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas remaja berkenaan.

Dua remaja lelaki itu yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu. – BERNAMA

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X