Rabu, 5 Februari 2020 | 5:20pm

Pecah kepala digilis treler

MELAKA: Seorang remaja maut selepas digilis sebuah treler di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Katil, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Danial Ismail, 20 yang menunggang motosikal dipercayai bergerak seiring dengan treler berkenaan ketika lampu bertukar hijau sebelum bergesel, menyebabkan dia terjatuh ke bawah lori.

Keadaan itu menyebabkan mangsa yang juga pekerja sebuah kedai makan di sini, digilis mengakibatkan kepalanya pecah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata siasatan awal mendapati, treler berkenaan memulakan perjalanan selepas lampu bertukar hijau dari arah Jalan Tun Hamzah.

Katanya, semasa bergerak untuk ke arah kanan, treler terbabit terlanggar motosikal yang secara tiba-tiba berada di hadapannya.

Motosikal berkenaan dipercayai berada pada kedudukan ‘blindspot’.

“Akibat kemalangan itu, penunggang terbabit termasuk di bawah lori treler dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X