Khamis, 6 Februari 2020 | 4:40pm
KETUA Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah (tengah) menunjukkan beberapa barangan rampasan yang digunakan untuk sindiket pengedaran dadah, pada sidang media di IPD Sentul, hari ini. - Foto Faris Fuad
KETUA Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah (tengah) menunjukkan beberapa barangan rampasan yang digunakan untuk sindiket pengedaran dadah, pada sidang media di IPD Sentul, hari ini. - Foto Faris Fuad

Sindiket dadah tumpas

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila merampas bahan terlarang bernilai RM430,000 di Lembah Klang dan menahan dua lelaki warga India, Isnin lalu.

Dua suspek berusia 24 dan 26 tahun itu diberkas di Jalan Pantai Murni, dekat Sentul, pada jam 4.35 petang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata hasil siasatan membawa kepada penemuan dadah jenis ketamin seberat 8.5 kilogram (kg) dan syabu (0.9 kg) di sebuah kondominium di Pantai Dalam, di sini.

“Dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 9,510 pengguna. Turut disita, sebuah motosikal jenis Yamaha dan wang tunai berjumlah RM500 sebagai bahan bukti siasatan.

“Semakan butiran pasport suspek mendapati ia masih aktif dan mereka masuk ke negara ini atas tujuan lawatan sosial.

“Sindiket itu juga dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu. Usaha mengesan dalang dan individu terbabit dengan sindiket itu masih giat dilakukan,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Kedua-kedua suspek direman tujuh hari bermula kelmarin, mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Berita Harian X