X
Ahad, 9 Februari 2020 | 2:47pm
Omar (tiga dari kiri) ketika menyoal tindakan seorang peniaga wanita kerana menjual topeng muka pada harga mencecah RM140 sekotak di pasar pagi Jalan Teluk Wanjah. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Omar (tiga dari kiri) ketika menyoal tindakan seorang peniaga wanita kerana menjual topeng muka pada harga mencecah RM140 sekotak di pasar pagi Jalan Teluk Wanjah. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Padah jual topeng muka mahal

ALOR SETAR: Tindakan seorang peniaga menjual topeng muka pada harga mencecah RM140 sekotak, mengundang padah apabila dikenakan tindakan oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah, di sini, hari ini.

Dalam serbuan pada jam 9.15 pagi di pasar pagi di Jalan Teluk Wanjah, di sini, wanita berusia 55 tahun itu mendakwa topeng muka itu bukan barangan miliknya, namun hasil aduan awam diterima, peniaga itu dipercayai menjual topeng muka berkenaan pada harga antara RM120 hingga RM140 sekotak.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail, berkata hasil maklumat yang diperolehi, pihaknya merampas dua kotak topeng muka yang setiapnya mengandungi 50 topeng. Pemeriksaan juga mendapati, tiada tanda harga diletak pada kotak berkenaan.

“Berdasarkan aduan diterima, kami dapati harga yang dijual tidak munasabah dari harga kawalan yang ditetapkan.

“Harga kawalan bagi topeng muka satu lapisan dijual pada harga RM7 sekotak, dua lapisan RM10 sekotak dan tiga lapisan RM40 sekotak manakala topeng n95 pula RM6 sekeping,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Omar berkata, pihaknya mengambil keterangan dari wanita itu untuk tindakan lanjut dan akan mengambil tindakan bersesuaian terhadapnya.

Beliau berkata, satu lagi kes menjual topeng muka pada harga berlebihan juga dikesan di Kulim hari ini, dan pihaknya turut mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit.

“Sepanjang tempoh Januari hingga hari ini, kita menerima 14 aduan berkaitan topeng muka yang dijual pada harga berlebihan dari harga kawalan.

“Namun setakat ini kita sudah mengambil tindakan terhadap peniaga iaitu satu kes di Sungai Petani pada 1 Februari lalu dan dua kes masing-masing di Alor Setar dan Kulim hari ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 jika menjual topeng muka pada harga melebihi harga kawalan yang dibenarkan.

Sebarang pelanggaran peruntukan akta berkenaan boleh menyebabkan individu didenda hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50,000.

Selain itu, tindakan juga boleh diambil mengikut Perintah 3 (1) Perintah Kawalan (Penandaan oleh penjual runcit 2003) jika peniaga gagal meletakkan tanda harga.

Berita Harian X