Isnin, 10 Februari 2020 | 12:46pm

Bapa, ibu tiri direman 7 hari kes dera budak perempuan

BUKIT MERTAJAM: Pasangan suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera seorang budak perempuan 11 tahun di Flat Ampang Jajar Permatang Pauh, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata reman dibenarkan bermula hari ini hingga 16 Februari depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mangsa kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan pemeriksaan lanjut akan dibuat hari ini oleh pakar kanak-kanak.

“Hasil ujian air kencing terhadap suspek lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa mangsa mendapati dia positif methamphetamine.

“Bagaimanapun, berdasarkan siasatan setakat ini hanya mangsa sahaja yang didera dan tiada membabitkan adik-beradiknya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Budak perempuan terbabit diselamatkan pembantu khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai selepas wanita berusia 54 tahun itu menerima maklumat mengenai penderaan ke atas mangsa daripada penduduk flet terbabit.

Mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik seibu sebapa ditemui dengan kesan kecederaan serius di muka sehingga menyebabkannya sukar membuka kedua-dua belah mata.

Mangsa tidak bersekolah sejak tinggal dengan ibu tiri dan bapa kandung di flet berkenaan tahun lalu, serta mempunyai tujuh lagi adik hasil perkahwinan bapanya dengan wanita terbabit.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa dipercayai didera menggunakan objek tumpul seperti topi keledar, kayu dan penyangkut baju.

Semakan rekod lampau ke atas wanita berusia 38 tahun itu mendapati suspek pernah terbabit dengan satu kes jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala bapa mangsa mempunyai empat kes jenayah dan empat kes dadah.

Berita Harian X