Jumaat, 14 Februari 2020 | 5:56pm
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ashmon Bajah. - NSTP/Ahmad Othman

'Rahsia kerajaan' konon!

KOTA TINGGI: Seorang warga emas nyaris kerugian RM200,000 apabila cuba diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lelaki yang juga bekas peneroka berusia 60 tahun itu berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa penipuan, semalam, hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, selepas menerima maklumat berkaitan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ashmon Bajah, berkata hasil maklumat awal daripada pihak bank mendapati warga emas itu cuba mendepositkan RM200,000 ke dalam sebuah akaun pihak ketiga.

“Pada mulanya, warga emas itu memaklumkan tujuan deposit berkenaan ialah untuk pembelian tanah.

“Namun hasil soal siasat lanjut oleh Inspektor Villiam Prasad Francis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kota Tinggi, mendapati lelaki itu telah menerima panggilan daripada suspek yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan PDRM.

“Suspek dikatakan memberitahu mangsa bahawa dia ada tunggakan pembayaran cukai kepada kerajaan dan jika tidak menyelesaikan tunggakan itu, wang simpanannya akan dibekukan oleh pihak Bank Negara Malaysia.

“Mangsa diarah memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun pihak ketiga yang diberi suspek. Mangsa juga diarah merahsiakan perkara itu kerana kononnya kes berkenaan adalah rahsia kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun, dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Ashmon sekali gus menasihati orang ramai supaya membuat pengesahan dengan pihak polis sekiranya menerima sebarang panggilan yang meragukan.

Berita Harian X