Selasa, 18 Februari 2020 | 3:56pm
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah (tengah) menunjukkan wang tunai dan barang kemas yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Batu 4 Jalan Ipoh. - NSTP/Ihsan PDRM
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah (tengah) menunjukkan wang tunai dan barang kemas yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Batu 4 Jalan Ipoh. - NSTP/Ihsan PDRM

Suami isteri mewah edar dadah

KUALA LUMPUR: Kehidupan mewah sepasang suami isteri yang mampu memiliki wang tunai dan barang kemas bernilai lebih setengah juta ringgit, hasil hanya dalam tempoh enam bulan mengedar dadah berakhir apabila kedua-duanya dicekup polis, Rabu lalu.

Kegiatan suami isteri itu terbongkar susulan tangkapan ke atas seorang lelaki pada operasi khas di Batu 4 Jalan Ipoh di sini, kira-kira jam 8 pagi.

Menerusi tangkapan itu, polis menjumpai dadah disyaki methamphetamine seberat 250 gram serta wang tunai berjumlah RM8,000 padanya.

Operasi khas itu dikendalikan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Hasil soal siasat ke atas suspek kemudian membawa kepada serbuan ke atas sebuah unit kondominium di Taman Mastiara, Batu 5 Jalan Ipoh di sini, pada hari yang sama.

Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata dalam serbuan itu, polis menahan seorang wanita yang juga isteri kepada suspek utama selain menemui dadah, disyaki jenis ketamin seberat 1.13 gram dalam salah sebuah bilik tidur di situ.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita kemudian menemui sejumlah barang kemas pelbagai jenis terdiri daripada 23 bentuk cincin, rantai dan rantai leher (21), loket (8), gelang tangan (7), subang (6) dan rantai tangan (4).

“Kesemua barang kemas dianggarkan bernilai lebih RM213,000 itu ditemui disimpan dalam sebuah peti besi bersama sejumlah wang tunai,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya lagi, sejumlah wang tunai dipercayai hasil jualan dadah turut ditemui disorok di ruang siling kondominium terbabit.

“Kesemua wang tunai itu berjumlah RM323,219. Menerusi serbuan itu juga kita merampas empat kenderaan milik suspek terdiri daripada dua kereta dan dua motosikal dianggarkan bernilai RM54,500.

“Kesemua wang tunai, barang kemas dan kenderaan itu dirampas sert disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya Bahagian Perlucuthakan Harta 1988 Akta 340,” kata beliau.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah jenis amphetamine namun isterinya negatif.

“Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 33 dan 32 tahun kini direman tujuh hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

“Hasil siasatan mendapati suspek aktif mengedar dadah jenis methamphetamine di sekitar Sentul dan Lembah Klang sejak enam bulan lalu.

“Buat masa ini kita sedang mengesan rangkaian dan punca daripada mana bekalan dadah terbabit diperolehi,” jelas Shanmugamoorthy.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM615,689 termasuk dadah bernilai RM10,170.

Berita Harian X