Selasa, 18 Februari 2020 | 6:03pm

Kerajaan, MKN kemuka bantahan awal terhadap saman Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengemukakan bantahan awal terhadap saman pemula difailkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar pelaksanaan Akta MKN 2016.

Perkara itu dimaklumkan peguam J Leela yang mewakili Anwar selaku plaintif, selepas pengurusan kes dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke Yee Ching, bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia dan MKN.

Leela berkata, Kerajaan Malaysia dan MKN selaku defendan mengemukakan bantahan awal berkenaan secara lisan pada pengurusan kes hari ini dan mahkamah menetapkan 4 Jun untuk mendengar bantahan itu.

“Mahkamah juga menetapkan tarikh sama (4 Jun) untuk pendengaran saman pemula difailkan Anwar,” katanya kepada media, hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari lalu enggan menjawab persoalan Perlembagaan dikemukakan Anwar mengenai kesahihan Akta MKN 2016.

Panel tujuh hakim dalam keputusan majoriti 5-2, memutuskan ia bukan kes sepatutnya bagi mahkamah itu menjawab persoalan Perlembagaan kerana soalan dirujuk adalah abstrak dan akademik.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang menyampaikan keputusan majoriti itu, memerintahkan kes berkenaan dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi.

Dalam saman pemula difailkan pada 2 Ogos 2016, Anwar mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016 melanggar Perlembagaan, tidak sah dan batal.

Beliau memohon untuk mengisytiharkan Akta MKN melanggar Perlembagaan dalam usaha mengembalikan kuasa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan terhadap mana-mana undang-undang.

Pada 14 Mac 2019, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan Perlembagaan. - BERNAMA

Berita Harian X