Jumaat, 28 Februari 2020 | 3:43pm
Notis palsu menggunakan kepala surat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang tular di media sosial agar tidak mengunjungi tiga pusat rekreasi. - NSTP/Ihsan FB JPNPK
Notis palsu menggunakan kepala surat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang tular di media sosial agar tidak mengunjungi tiga pusat rekreasi. - NSTP/Ihsan FB JPNPK

Notis kencing tikus di 3 taman rekreasi palsu

IPOH: Dakwaan bahawa tiga pusat rekreasi di negeri ini terbabit kes leptospirosis atau kencing tikus yang tular sejak semalam adalah palsu.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak menerusi kenyataan di Facebook menjelaskan tiada sebarang kes leptospirosis di Taman Eko Rimba Lata Kinjang di Chenderiang, Lata Iskandar dan Kuala Woh di Tapah seperti mana ditularkan itu.

“Semakan sudah dibuat kepada pihak Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) mengenai risalah yang tular menggunakan nama Pusat Perubatan Angkatan Tentera.

“Pihak RAMD memaklumkan bahawa apa yang diviralkan berkenaan adalah tidak benar dan pihak jabatan sudah memohon pihak RAMD untuk memperbetulkan semula kenyataan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jabatan akan membuat makluman segera sekiranya berlaku kes berkenaan.

Semalam, tular di media sosial berkenaan satu memo menggunakan kepala surat RAMD yang memaklumkan amaran kepada warga RAMD Kem Tapah agar tidak mengunjungi ketiga-tiga pusat rekreasi di sekitar kem terbabit kerana kes leptospirosis.

Berita Harian X