Sabtu, 7 March 2020 | 11:35am

Lima diberkas dipercayai miliki dadah

BUTTERWORTH: Lima individu diberkas dalam serbuan menerusi Op Tapis, dipercayai memiliki dadah, di sebuah rumah di Jalan Permatang Binjai, Penaga, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor, mengesahkan penahanan berkenaan itu pada jam 12.30 pagi.

Katanya, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua perempuan itu ditahan semasa pemeriksaan dijalankan di rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan sebanyak 430 gram (g) dadah disyaki heroin, 6.5 g syabu dan 6 g ganja dijumpai.

“Kesemua yang ditahan berusia 24 hingga 50 tahun dan tidak bekerja,” katanya kepada media di sini hari ini.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati dadah yang dirampas dipercayai dijual di sekitar Teluk Air Tawar dan Kepala Batas selain untuk kegunaan sendiri.

Katanya, barangan dirampas dianggarkan bernilai RM 22,595.

“Ujian air kencing semua suspek didapati positif MOP, methamphetamin dan Tetra Hydrocannibol (THC).

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula dari semalam hingga 12 Mac ini bagi siasatan lanjut,” katanya lagi.

Kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noorzainy berkata pihak polis sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar dadah di daerah ini.

Berita Harian X