Jumaat, 13 March 2020 | 9:16am
Suspek tokan dadah wanita tempatan berusia 36 tahun yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Langkawi, Langkawi. - Foto ihsan Polis
Suspek tokan dadah wanita tempatan berusia 36 tahun yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Langkawi, Langkawi. - Foto ihsan Polis

Polis tahan wanita, rampas pelbagai jenis dadah

LANGKAWI: Seorang wanita dari Jengka, Pahang, ditahan kerana disyaki memiliki heroin, syabu dan ganja dianggarkan bernilai RM18,200 di sebuah rumah di Taman Langkawi, di sini.

Dalam serbuan pada jam 7 malam kelmarin, wanita berusia 36 tahun berkenaan cuba bersembunyi dalam bilik di bahagian dapur selepas menyedari kehadiran polis.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek ditahan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

“Hasil pemeriksaan menemui 42 paket lutsinar mengandungi serbuk ketulan kristal disyaki syabu seberat 201.47 gram di lantai rumah, selain 11 paket lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki heroin seberat 105.49 gram dan enam paket ganja seberat 29.98 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal mendapati suspek adalah penganggur dan mendapat bekalan dadah dari suaminya yang menetap di Perak.

Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebahagian dadah yang dirampas selepas polis menahan suspek tokan dadah wanita tempatan berusia 36 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Langkawi, Langkawi. - Foto ihsan Polis
Sebahagian dadah yang dirampas selepas polis menahan suspek tokan dadah wanita tempatan berusia 36 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Langkawi, Langkawi. - Foto ihsan Polis

Berita Harian X