Isnin, 23 March 2020 | 9:43pm

COVID-19: Lelaki rempuh sekatan jalan ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan di ibu negara selepas melarikan diri dengan merempuh sekatan jalan raya sempena Op COVID-19 berhampiran Bentong, Pahang, awal pagi tadi.

Lelaki berusia 21 tahun dan dua lagi individu pada mulanya dikesan merempuh sekatan jalan raya di Kilometer 13.2 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan melarikan diri ke arah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata suspek yang menaiki kereta Perodua Alza itu kemudiannya melanggar palang tol tetapi hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan di Kilometer 23.6, berhampiran Bentong.

“Mereka kemudiannya melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

”Satu operasi digerakkan pasukan polis Gombak dan tangkapan dilakukan di Jalan Klang Lama, di sini kira-kira jam 5 petang. Suspek yang ditahan mempunyai 20 rekod lampau jenayah serta kesalahan dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu menghalang penjawat awam.

“Siasatan akan diteruskan untuk mengesan suspek lain yang melarikan diri,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X