Rabu, 25 March 2020 | 7:38pm
Tertuduh, Mohd Fathi Hassan, 32, (dua dari kiri) diiringi polis di Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku salah kerana menghina polis di Facebook. - Foto STR/Zuliaty Zulkiffli
Tertuduh, Mohd Fathi Hassan, 32, (dua dari kiri) diiringi polis di Mahkamah Sesyen Alor Setar selepas mengaku salah kerana menghina polis di Facebook. - Foto STR/Zuliaty Zulkiffli

Mekanik hina polis didenda RM8,000

ALOR SETAR: Mahkamah Seksyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM8,000 ke atas seorang mekanik yang didakwa menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook Sabtu lalu.

Hakim Juraidah Abas turut mengarahkan tertuduh, Mohd Fathi Hasan, 32, yang berasal dari Jitra, dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Fathi didakwa dengan niat menghina anggota PDRM apabila memuat naik status di media sosial dan mengeluarkan kenyataan menghina polis yang menjalankan tugas ketika Perintah Kawalan Pergerakan di Jitra pada jam 7 malam, 21 Mac lalu.

Tertuduh melakukan perbuatan itu melalui aplikasi Facebook dengan membuat hantaran komunikasi jelik mengatakan ‘Berok Mari Pulok Doh’ berserta gambar anggota polis bertugas.

Berikutan itu dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588).

Pendakwaan dilalukan Pegawai Pendakwa, Zubaidah Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahad lalu, polis menahan seorang mekanik di rumahnya di Taman Desa Murni di sini, selepas dia disyaki mengeluarkan kenyataan menghina polis yang mengarahkan orang ramai yang berhimpun supaya bersurai disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa ekoran wabak COVID-19.

Berita Harian X