Khamis, 26 March 2020 | 3:15pm

7 ditahan langgar PKP

KUALA SELANGOR: Tujuh lelaki ditahan polis selepas menghalang penjawat awam melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di dua lokasi berasingan di Pekan Bestari Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata kejadian jam 10.35 malam itu berlaku sewaktu anggota polis membuat rondaan ‘Ops Covid-19’ di pekan itu.

Menurut Ramli, ketika rondaan pihaknya ternampak tiga lelaki berusia 28 hingga 32 tahun menunggang motosikal sebelum memberi arahan beredar.

“Ketiga-tiga lelaki itu didapati berdegil apabila tidak mahu beredar dan mengikut arahan polis berikutan perlaksanaan PKP.

“Anggota polis terpaksa mengejar dua motosikal itu dan menahan semua individu berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki menaiki dua motosikal yang mencetuskan provokasi kepada pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas berhampiran sebuah kedai serbaneka, waktu yang sama.

“Keempat-empat lelaki berusia lingkungan 28 hingga 35 tahun itu berdegil dengan arahan dari pasukan RELA dan seorang daripada mereka dipercayai menendang tong sampah di hadapan kedai itu.

“Polis terima panggilan telefon daripada pegawai RELA yang memaklumkan terdapat empat lelaki yang tidak menghiraukan arahan meninggalkan kedai serbaneka yang sudah ditutup,” katanya.

Semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Bestari Jaya untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 7 Peraturan-Peraturan PPPB (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Berita Harian X