Khamis, 26 March 2020 | 4:44pm
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Mohd Rozi Jidin. - Foto NSTP / Amran Hamid
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Mohd Rozi Jidin. - Foto NSTP / Amran Hamid

Tujuh ditahan ingkar PKP

ALOR SETAR: Tujuh lelaki termasuk seorang warga emas ditahan selepas mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan, dalam pemeriksaan di sekitar Kuala Kedah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata dalam pemeriksaan pertama di sebuah kedai makan di Kubang Rotan, dekat sini, enam lelaki ditahan ketika berkumpul tanpa alasan munasabah di premis berkenaan.

Beliau berkata, tindakan kumpulan itu boleh mengundang risiko penularan COVID-19, malah ada antara mereka tidak memakai penutup muka dan hidung.

“Kita juga menahan seorang lelaki warga emas selepas enggan mematuhi arahan polis yang memintanya beredar meninggalkan lokasi terbabit.

“Semua yang ditahan berusia antara lingkungan 30-an hingga 70-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata, sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, pihaknya sudah melakukan 10 tangkapan termasuk tujuh hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berkumpul menyebabkan merebaknya penyakit berjangkit dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Kita sudah beri nasihat kepada orang ramai supaya duduk di rumah sepanjang tempoh PKP, namun masih ada yang tidak patuh.

“Kita akan meneruskan tangkapan sekiranya masih ada yang degil dan berkumpul di tempat awam sehingga boleh menyebabkan jangkitan berlaku,” katanya.

Berita Harian X