Khamis, 26 March 2020 | 7:27pm

Penugasan COVID-19, bukan penghalang cegah jenayah

KUALA LUMPUR: Kesibukan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan PKP), tidak menghalang anggota polis memastikan tugas hakiki menjaga ketenteraman dan keselamatan awam serta harta benda ditunaikan.

Hakikat itu dibuktikan dengan kejayaan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang menangkap empat suspek disyaki terbabit kegiatan jenayah dan memiliki senjata berbahaya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki di Taman Maluri, Cheras di sini, pada jam 12 tengah hari Selasa lalu.

“Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang membuat rondaan cegah jenayah menahan tiga lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di situ.

“Hasil pemeriksaan ke atas mereka menjumpai satu alat renjatan elektrik, sepasang gari, sebilah pedang samurai bersarung, dua set walkie talkie dan enam telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Senjata bahaya yang dirampas selepas menahan empat suspek. - Foto ihsan PDRM
Senjata bahaya yang dirampas selepas menahan empat suspek. - Foto ihsan PDRM

Katanya, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 26 tahun itu dibawa ke IPD Cheras dan direman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1958), Seksyen 89 Akta Polis dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Satu lagi tangkapan, katanya dibuat ke atas seorang lelaki berusia 46 tahun di Taman Shamelin di sini, semalam kerana didapati memiliki pistol angin dan senjata berjadual.

“Tangkapan dilakukan oleh anggota polis Balai Cheras yang sedang membuat rondaan cegah jenayah, kira-kira jam 9 malam.

Senjata bahaya yang dirampas selepas menahan empat suspek. - Foto ihsan PDRM
Senjata bahaya yang dirampas selepas menahan empat suspek. - Foto ihsan PDRM

“Suspek yang memandu kereta dalam keadaan mencurigakan ditahan dan pemeriksaan menemui enam butir kelongsong peluru pistol angin, sepucuk pistol angin, sebilah parang dan satu lampu suluh berbentuk seperti kayu besbol,” katanya.

Katanya lagi, semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai juru wayar itu mempunyai satu rekod jenayah kes samun.

“Suspek direman selama dua hari sehingga esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) ABKLSB 1958,” kata beliau.

Katanya, selain memberi tumpuan kepada penugasan PKP membendung penyebaran wabak Covid19, pihaknya turut melaksanakan tugas harian kepolisan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X