Isnin, 30 March 2020 | 11:26am
Sepasang suami isteri direman di Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dipercayai terbabit dalam kematian seorang kanak-kanak berusia 4 tahun semalam. - Foto Essa Abu Yamin
Sepasang suami isteri direman di Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dipercayai terbabit dalam kematian seorang kanak-kanak berusia 4 tahun semalam. - Foto Essa Abu Yamin

Suspek dera kanak-kanak ditahan reman

BATU PAHAT: Pasangan suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian dera sehingga menyebabkan seorang daripada anak asuhan mereka meninggal dunia semalam, direman tujuh hari bermula hari ini, di Mahkamah Majistret Batu Pahat.

Majistret Nurul ‘Izzati Mohamad membenarkan permohonan reman berkenaan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Terdahulu, pengasuh dan suaminya dilihat tiba ke perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi namun menyembunyikan wajah kerana tidak selesa dengan kehadiran media.

Media semalam melaporkan, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, pada 7.15 pagi, semalam, dipercayai didera pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata susulan kejadian wanita berusia 33 tahun yang juga pengasuh kepada kanak-kanak itu bersama suaminya berusia 41 tahun ditahan.

“Hasil siasatan awal mendapati selain penderaan terhadap kanak-kanak perempuan itu, abang mangsa yang berusia enam tahun dipercayai turut didera berdasarkan kesan lebam pada badannya.

“Polis berjaya menyelamatkan abang mangsa dan kini mendapatkan rawatan di HSNI. Kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 31(1), Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.

Difahamkan, ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan yang juga ibu tunggal menyerahkan anaknya kepada pengasuh terbabit untuk dijaga kerana bekerja.

Berita Harian X