Isnin, 30 March 2020 | 9:44pm
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe

COVID-19: Ingkar PKP, 4 ditahan pecah bengkel

KUALA LUMPUR: Empat termasuk seorang wanita, ditahan kerana mengambil kesempatan atas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memecah masuk sebuah bengkel di Batu 7, Gombak dekat sini dan melarikan pelbagai peralatan motosikal, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejadian itu disedari pemilik selepas mendapati pintu hadapan bengkelnya terdapat kesan umpil sebelum mendapati pelbagai peralatan motosikal yang disimpan di situ dilarikan.

“Susulan siasatan dijalankan, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Kunci Air, Batu 6 Simpang 3, Gombak dan menahan empat suspek termasuk seorang wanita, kira-kira jam 2.45 hari yang sama.

“Kita turut menemui beberapa peralatan motosikal yang dilarikan dari bengkel yang dipecah masuk di situ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, hasil soal siasat suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah yang dijadikan stor menyimpan barang curi di Rumah Panjang Sungai Kertas.

“Kita menemui dua buah motosikal Yamaha Y15ZR serta komponen motosikal yang dileraikan yang disyaki dicuri.

“Selain itu, suspek turut menunjukkan tempat membuang satu rangka motosikal curi di tebing sungai di Bati 10 Jalan Gombak Lama,” kata Arifai.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 26 tahun itu kini direman sehingga 3 April ini bermula semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun sama serta Peraturan 7 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dan Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020.

Berita Harian X