Selasa, 31 March 2020 | 12:52pm
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

6 dipanggil bantu siasatan kes kecurian di rumah Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Polis memanggil enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian yang berlaku di kediaman Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata semua individu berkenaan dipanggil bermula jam 12 tengah hari ini.

“Semua individu berkenaan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Sebarang maklumat lanjut masih belum boleh didedahkan kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan kecurian berlaku di kediaman beliau dan polis sudah membuat siasatan di rumah sejak malam kelmarin.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, laporan media sebelum ini bahawa kehilangan RM250,000 merupakan wang BERSATU, adalah tidak benar.

“Saya sudah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya. Pihak polis dan forensik sudah datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam tadi.

“Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai,” katanya.

Berita Harian X