Selasa, 31 March 2020 | 10:47pm
Lokasi mangsa yang maut selepas ditikam suspek di di Kampung Mujur, Jelawat, semalam. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Lokasi mangsa yang maut selepas ditikam suspek di di Kampung Mujur, Jelawat, semalam. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Suspek rogol, bunuh ditahan ketika tidur

BACHOK: Suspek kes rogol ibu tunggal dan bunuh seorang lelaki di Kampung Mujur Jelawat, di sini berjaya ditahan polis, pagi tadi.

Suspek berusia 19 tahun itu ditahan hasil risikan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok, jam 10.30 pagi tadi di sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan, Samsulmuddin Sulaiman, berkata suspek ditahan ketika sedang tidur di rumah itu yang terletak tidak jauh dari lokasi berlaku kejadian jenayah itu.

“Tiada pergelutan berlaku ketika menangkap suspek kerana dia sedang tidur ketika polis menemuinya.

“Suspek ditahan reman dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Bachok, jam 8 pagi esok,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kelmarin, seorang lelaki maut ditikam manakala dua lagi cedera termasuk seorang ibu tunggal dipercayai dirogol suspek.

Lelaki yang maut berusia 28 tahun ditikam di perut dan dada manakala rakannya, lelaki berusia 25 tahun cedera parah yang dikatakan berada di rumah wanita ibu tunggal berusia 40an ketika kejadian berlaku.

Suspek dipercayai memecah masuk rumah wanita berkenaan sebelum meletakkan pisau di tengkuk mangsa dan merogolnya.

Selepas kejadian, suspek cuba melarikan diri namun wanita ibu tunggal lima anak itu menjerit menyebabkan dua lelaki yang berada di dalam rumahnya cuba menangkap suspek namun berlaku pergelutan antara mereka bertiga menyebabkan salah seorang maut dan seorang lagi cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat manakala lelaki yang cedera parah dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ibu tunggal kematian suami itu tinggal di rumah berkenaan bersama lima anaknya yang berusia 17 hingga dua tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh dan Seksyen 376 KK kerana merogol.

Berita berkaitan:

  • Lelaki maut ditikam, ibu tunggal cedera dirogol

  • Berita Harian X