Selasa, 7 April 2020 | 10:25am

Lelaki mati disyaki dibunuh rakan sekolah

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan mati disyaki dibunuh di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara, dekat sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di tepi tangga di tingkat dua pangsapuri itu kira-kira jam 1 pagi.

“Hasil siasatan polis mendapati kesan kecederaan di kepala dan leher lelaki berusia 25 tahun itu. Kami telah mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa dan saksi kejadian kes itu,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Nik Ezanee berkata polis kini memburu seorang suspek yang dipercayai rakan sekolah lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Punca kejadian dan senjata yang digunakan masih dalam siasatan,” katanya sambil memberitahu mayat lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. - BERNAMA

Berita Harian X