Selasa, 7 April 2020 | 1:48pm

Tahanan mati di lokap bukan disebabkan COVID-19

KUANTAN: Polis Bentong mengesahkan kematian seorang tahanan lelaki di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kelmarin, tiada kaitan dengan kes COVID-19.

Ketua Polis Daerah Bentong, Yusof Unis berkata, bedah siasat yang dilakukan terhadap lelaki berumur 30 tahun di Hospital Bentong semalam, mengesahkan kematian itu bukan disebabkan wabak terbabit.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedang menunggu keputusan analisis toksikologi dari Jabatan Kimia dan analisis sampel tisu badan oleh pihak patologi untuk mengetahui punca kematian.

“Kematian tahanan ini tidak ada kena mengena dengan COVID-19 dan buat masa ini kami mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan, lelaki terbabit ditahan pada 2 April lalu bagi membantu siasatan kes kecurian mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dikatakan mengalami sesak nafas.

Difahamkan, polis menghubungi pihak hospital untuk mendapatkan bantuan tetapi lelaki terbabit meninggal dunia sebelum pasukan perubatan tiba.

Berita Harian X