Selasa, 7 April 2020 | 1:56pm
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto fail NSTP
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. - Foto fail NSTP

Kes mahkamah Ahmad Maslan ditangguh ke 15 April

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini akan menetapkan tarikh baharu bagi mendengar permohonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk membatalkan pertuduhan pengubahan wang haram dan memberi penyataan palsu yang dikenakan ke atasnya.

Peguam Hamidi Mohd Noh, yang mewakili Ahmad, 52, memberitahu Bernama bahawa mahkamah telah menangguhkan pendengaran permohonan itu, berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

“Pihak pembelaan menerima e-mel dari mahkamah memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan 15 April untuk pengurusan kes bagi kedua-dua pertuduhan utama Ahmad dan permohonannya untuk membatalkan tuduhan itu,” katanya menerusi mesej WhatsApp.

Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa telah membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar berjumlah RM2 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu didakwa telah menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad didakwa telah memberi penyataan-penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X