Selasa, 7 April 2020 | 2:50pm

116 warga asing ingkar PKP dipenjara sebulan, denda

MUAR: Seramai 116 lelaki warga Pakistan, Bangladesh, Nepal dan Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mendirikan solat Jumaat di bumbung sebuah kilang pada 27 Mac lalu.

Majistret Zuraidah Abu Bakar menjatuhi hukuman penjara satu bulan serta denda RM700 ke atas tertuduh berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didapati berhimpun dengan maksud keagamaan dengan cara menunaikan solat berjemaah di dalam kawasan tempatan jangkitan di sebuah kilang di Jalan Jeram, Muar pada jam 1.30 tengah hari 27 Mac lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Azmi dan Nur Syamim Fateha Mohd Amin.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • SERAMAI 116 warga asing yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Muar kerana PKP. - Foto Essa Abu Yamin
    SERAMAI 116 warga asing yang dihadapkan di Mahkamah Majistret Muar kerana PKP. - Foto Essa Abu Yamin
    Berita Harian X