Selasa, 7 April 2020 | 4:25pm
Nursahira Mohd Mizuar mengaku bersalah atas tuduhan mengeluarkan komunikasi jelik terhadap anggota polis pada 27 Mac lalu dan dijatuhi hukuman denda RM10,000 serta penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar. - Foto fail NSTP
Nursahira Mohd Mizuar mengaku bersalah atas tuduhan mengeluarkan komunikasi jelik terhadap anggota polis pada 27 Mac lalu dan dijatuhi hukuman denda RM10,000 serta penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar. - Foto fail NSTP

Mahkamah tolak tangguh hukuman penjara Nursahira

ALOR SETAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menolak permohonan seorang pembantu kedai menangguhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya selepas didapati bersalah menghina polis pada 27 Mac lalu.

Hakim Murtazadi Amran membuat keputusan itu selepas menganggap kesalahan dilakukan Nursahira Mohd Mizuar, 20, adalah berat dan tiada alasan istimewa untuk mahkamah menangguh hukuman berkenaan.

Murtazadi dalam prosiding turut memaklumkan, mahkamah mendapati tertuduh tidak pernah meminta maaf kepada pihak polis dan menyatakan kekesalan atas perbuatannya itu.

Terdahulu, peguam tertuduh, Datuk Naran Singh memohon hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas Nursahira ditangguhkan berikutan tertuduh sebelum ini tidak diwakili peguam selain keluarganya tidak mempunyai wang bagi membayar denda.

Pada 31 Mac lalu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook dengan niat menganiaya orang lain di sebuah rumah di Persiaran Kiara Mas, Pendang, pada jam 10.12 malam, 27 Mac lalu.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan menyebabkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tambahan dua bulan ke atasnya.

Sementara itu, Naran yang ditemui memaklumkan, seorang usahawan tempatan bersimpati dan bersetuju menanggung kos guaman Nursahira.

Jelasnya, pihaknya akan memfailkan rayuan penangguhan hukuman ke Mahkamah Tinggi selepas permohonan penangguhan hukuman ditolak Mahkamah Sesyen hari ini.

Dalam kejadian 27 Mac lalu, seorang wanita ditahan polis jam 11.30 malam, selepas memuat naik status menghina polis di media sosial miliknya.

Wanita itu dikatakan memuat naik status itu selepas marah dengan tindakan polis mengarahkannya pulang ke rumah ketika anggota terbabit melakukan pemantauan Ops COVID-19 di tepi jalan Pendang-Kobah, Batu Menunggul, kira-kira jam 9 malam.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X