Rabu, 8 April 2020 | 1:03pm

Pemandu e-hailing tak mengaku salah hina Agong

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, terhadap lapan pertuduhan membuat penghantaran jelik kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di laman Twitter sejak 23 Mac lalu.

Tertuduh, Sufazrin Amin Ismail, 26, dituduh membuat hantaran itu di akaun Twitter, Fazrin Ismail antara 23 hingga 25 Mac lalu.

Sufazrin yang berasal dari Machang, Kelantan, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sufazrin dituduh melalui perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan nama profil ‘Fazrin Ismail’ atau @Fazr_Ismail secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menganiaya orang lain.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara jam 9.58 pagi hingga 10.29 malam antara 23 hingga 25 Mac dan semua penghantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada jam 7 malam, 28 Mac lalu.

Dalam setiap penghantaran jelik dibuat Sufazrin itu, tertuduh yang masih bujang menyebut Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong.

Sufazrin dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya mengenakan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan. Tertuduh bagaimanapun meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan dia terpaksa menanggung keluarga dan hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan berjumlah RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh tidak boleh membuat hantaran lain di laman sosial.

Mahkamah menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh, Sufazrin Amin Ismail, dibawa anggota Polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk didakwa atas pertuduhan menghina Yang Dipertuan Agong di Mahkamah. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tertuduh, Sufazrin Amin Ismail, dibawa anggota Polis Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk didakwa atas pertuduhan menghina Yang Dipertuan Agong di Mahkamah. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X