Rabu, 8 April 2020 | 2:34pm

Ahli kumpulan 'Viki Naidu' didakwa

IPOH: Seramai 10 lelaki ahli kumpulan ‘Viki Naidu’ yang dipercayai mendalangi pelbagai jenayah sejak 2014 didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Tertuduh berusia 27 hingga 50 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh K Prabu, 30; K Ganesan, 50, S K Vinodh, 28; M Prapagaran,33; D Entiran, 27; D Ganesan, 30; P Velmurugan, 37; S K Anandh Kumar, 28; G Kesavan, 32; V N V Vigneswaran Naidu, 39, tidak diwakili peguam.

Dua lagi tertuduh iaitu K Ganesan, 50; dan M Prapagaran, 33, diwakili peguam Charan Singh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di daerah Kinta antara 2014 hingga tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, D Sunita Kaur Jessy.

Dalam prosiding yang berlangsung kira-kira dua jam itu, mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin berikutan kesalahan di bawah SOSMA yang tidak boleh dijamin.

Azman menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes.

Ahli kumpulan ‘Viki Naidu’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang. - Foto NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Ahli kumpulan ‘Viki Naidu’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas tuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang. - Foto NSTP/BALQIS JAZIMAH ZAHARI
Berita Harian X