Rabu, 8 April 2020 | 3:47pm
Sekumpulan 15 individu mengaku salah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyertai parti hiburan. - Foto NSTP/ Balqis Jazimah Zahari
Sekumpulan 15 individu mengaku salah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyertai parti hiburan. - Foto NSTP/ Balqis Jazimah Zahari

15 sertai parti hiburan mengaku salah ingkar PKP

IPOH: Sekumpulan 15 individu mengaku salah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas dakwaan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berhimpun menyertai parti hiburan di sebuah kediaman di Taman Casa Lapangan di sini pada Ahad lalu.

Semua tertuduh terdiri sembilan lelaki dan enam wanita termasuk empat daripadanya warga Indonesia berusia antara 19 hingga 38 tahun, mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh termasuk tiga daripadanya penjawat awam didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.50 pagi pada 5 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 6 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan, manakala semua tertuduh diwakili Peguam Awatif Ahmad Bashir dan Nor Izawani Ahmad Jalaludin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pihak pendakwa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal khususnya mengambil kira tiga daripada mereka adalah kakitangan awam yang menjadi petugas barisan hadapan pada tempoh PKP ini, lantas kesalahan itu tidak sewajarnya dilakukan.

“Mereka sepatutnya lebih peka bahawa perintah dikeluarkan kerajaan adalah bagi membendung penularan wabak COVID-19),” katanya.

Peguam mewakili tertuduh bagaimanpun memohon mahkamah menetapkan hukuman ringan kerana ada antara mereka mempunyai tanggungan serta tidak mempunyai pendapatan tetap.

Majistret kemudian menetapkan hukuman denda RM1,000 ke atas setiap tertuduh atau tiga bulan penjara jika gagal membayarnya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19
  • Berita Harian X