Jumaat, 10 April 2020 | 4:24pm

Warga emas mabuk rempuh kereta polis

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas yang memandu di bawah pengaruh alkohol merempuh kereta polis di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol PJS2, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketika kejadian jam 9.30 malam itu, lelaki berusia 61 tahun berkenaan sedang memandu kereta Toyota Vios yang kemudian merempuh belakang kereta dipandu seorang pegawai polis di sekatan jalan raya berkenaan.

“Bagaimanapun, lelaki itu dan pegawai dan anggota polis bertugas tidak cedera dalam kejadian itu.

“Hasil ujian alkohol dilakukan terhadap lelaki terbabit mendapati dia positif mengambil alkohol berlebihan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 45(A) (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) akta sama selain dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut menahan 18 warga asing dari Indonesia, Myanmar, India dan Bangladesh berusia antara 25 hingga 43 tahun dalam 11 tangkapan berasingan di lokasi sekitar daerah ini, semalam.

“Semua warga asing berkenaan ditahan selepas gagal memberikan alasan munasabah mengenai pergerakan mereka.

“Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Berita Harian X