Jumaat, 10 April 2020 | 4:53pm
Lamborghini Thomas remuk pada bahagian depan dan kanan selepas terbabit kemalangan di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor. - Foto FB Azman Nor
Lamborghini Thomas remuk pada bahagian depan dan kanan selepas terbabit kemalangan di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor. - Foto FB Azman Nor

Wanita mangsa dilanggar Lamborghini dihadiahkan Myvi

KUALA LUMPUR: Lazimnya, apabila berlaku sesuatu kemalangan, ketegangan akan berlaku antara pihak yang terbabit.

Namun, berbeza dengan seorang pemilik sebuah Lamborghini bukan saja menyelesaikan isu itu dengan berhemah, malah bermurah hati ‘menghadiahkan’ sebuah Myvi kepada seorang ibu tunggal yang terbabit dalam kemalangan itu.

Tindakan Thomas Heng, 40, dipuji warga maya selepas kemurahan hatinya itu dikongsikan rakannya, Azman Nor, di Facebook, dua hari lalu.

Berkongsi kejadian itu, Thomas berkata, dia tidak terbabit dalam kejadian itu sebaliknya kenderaan mewah miliknya itu dipandu seorang rakan perniagaannya yang mahu keluar membeli barang keperluan, dua hari lalu.

Katanya, tiba di lokasi di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor, rakannya itu tidak sempat mengelak kenderaan di depannya yang tiba-tiba menukar lorong tanpa memberi isyarat.

“Akibat kemalangan itu, Lamborghini saya remuk pada bahagian depan dan kanan manakala Viva wanita itu ‘total lost’ (musnah).

“Kes diselesaikan secara baik tanpa pergaduhan, malah dua-dua pihak membuat laporan polis untuk proses tuntutan insurans, namun bagi kereta ‘total lost’ ia akan memakan masa, malah saya dapati tuntutan insurans Viva itu pun sangat rendah,” katanya ketika dihubungi.

Pemilik sebuah kedai ‘wrap’ kenderaan itu berkata, simpati dan prihatin dengan kesulitan dialami wanita itu, dia bermurah hati menawarkan sebuah kenderaan terpakai sebagai ganti.

“Hati saya tersentuh apabila mengetahui wanita itu ibu tunggal anak tiga dan bimbang dia terputus sumber rezeki, saya membuat keputusan membelikannya Myvi terpakai untuk memudahkan pergerakannya menghantar pesanan yang dijual menerusi dalam talian.

Thomas ‘menghadiahkan’ sebuah Myvi kepada seorang ibu tunggal yang terbabit dalam kemalangan. - Foto FB Azman Nor
Thomas ‘menghadiahkan’ sebuah Myvi kepada seorang ibu tunggal yang terbabit dalam kemalangan. - Foto FB Azman Nor

“Ini bukan soal ada wang boleh beli apa saja, tetapi apa yang saya buat ini lebih kepada untuk memudahkan urusan dan mengurangkan seberapa boleh beban dialaminya.

“Paling penting moralnya, tidak semua perkara perlu digaduhkan, selagi mana boleh selesai, selesaikanlah cara baik dan berhemah,” katanya.

Katanya, bagi menjamin ketelusan, kedua-dua pihak membuat perjanjian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini pada masa depan.

“Dalam perjanjian itu menjelaskan, saya dengan rela hati membelikan kereta Myvi itu tanpa perlu dibayar semula wanita itu.

“Malah, saya tidak akan menuntut sebarang ganti rugi termasuk wang tuntutan insurans daripada kemusnahan Viva itu juga menjadi hak wanita itu sepenuhnya untuk kegunaan dan keperluannya,” katanya.

Menurut Thomas, dia bercadang menyerahkan Myvi itu kepada wanita berkenaan, Isnin ini.

“Proses pertukaran hak milik kereta akan diuruskan selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Malah, bagi membantunya mempromosikan perniagaan atas taliannya, saya hantar Myvi itu untuk proses reka bentuk iklan.

“Mungkin ini tidak seberapa, tetapi saya harap Myvi ini menjadi pengganti kepada Viva yang rosak itu supaya wanita itu boleh terus mencari sumber pendapatan macam biasa bagi membesarkan anak-anaknya,” katanya.

Berita Harian X