Ahad, 12 April 2020 | 3:59pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Pegawai polis ditahan, disyaki rogol dua wanita Mongolia

PETALING JAYA: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, ditahan kerana disyaki merogol dua wanita Mongolia dalam kejadian di sebuah hotel dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata suspek berusia 30 tahun itu dipercayai berbuat demikian selepas menahan dua wanita berkenaan dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) di sekitar Petaling Jaya sebelum malam tadi sebelum membawa mereka ke hotel terbabit.

“Hasil maklumat yang diterima, polis melancarkan operasi menyelamat dua wanita berusia 20 dan 37 tahun itu di hotel berkenaan. Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang pegawai polis yang bertugas di Petaling Jaya.

“Kedua-dua mangsa tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris, justeru kita memanggil rakan mereka yang juga warga Mongolia untuk membuat terjemahan kenyataan mangsa mengenai kejadian berlaku.

“Mereka memberikan kerjasama yang baik. Mangsa sudah menjalani pemeriksaan kesihatan dan ketika ini diletakkan dalam jagaan D11 (Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di SJR PJU 7/1, Mutiara Damansara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, suspek direman selama lima hari bermula hari ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Saya mengambil kesempatan ini menzahirkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku ini dan akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut peruntukan undang-undang.

“Tindakan suspek atas kapasiti peribadinya sendiri, saya percaya kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Berita Harian X