Isnin, 20 April 2020 | 12:11pm

Ingkar PKP, berpesta pula di kondo

KUALA LUMPUR: Polis menahan 12 lelaki disyaki terbabit parti liar dan dadah di sebuah kondominium di Jalan Ang Seng, Brickfields, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 1.10 pagi, semua suspek berusia antara 17 hingga 33 tahun diberkas bersama empat paket dipercayai mengandungi ganja.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected], berkata hasil siasatan mendapati peserta parti itu dijemput menerusi aplikasi WhatsApp dan telefon.

“Seorang yang ditahan menyewa lokasi parti itu melalui panggilan telefon dan membuat bayaran secara dalam talian RM178 untuk satu malam.

“Seorang lagi suspek dikatakan membeli sepaket dadah RM10 daripada individu lain. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh daripada mereka positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semua yang ditahan direman empat hari bermula semalam, mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Setiap tahanan turut dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Kesalahan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak terbabit kes jenayah dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang ingkar.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh hubungi talian Hotline Polis Brickfields, 03 22979222,” katanya.

Berita Harian X