Isnin, 20 April 2020 | 1:17pm
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, lokasi kejadian kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa tiga tahun lalu. - Foto fail NSTP
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, lokasi kejadian kebakaran yang mengorbankan 23 nyawa tiga tahun lalu. - Foto fail NSTP

Bicara kes bunuh 23 pelajar tahfiz tangguh susulan PKP

KUALA LUMPUR: Tiga saksi lagi akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding bela diri seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dalam kebakaran menyayat hati hampir tiga tahun lalu.

Perbicaraan kes itu dijadualkan bersambung di Mahkamah Tinggi di sini hari ini tetapi ditangguhkan susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, berkata mahkamah menetapkan 14 Mei untuk pengurusan kes, bagi menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu.

Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja itu yang kini berumur 19 tahun memberitahu, bahawa anak guamnya sudah selesai memberi keterangannya.

“Pihak pembelaan akan memanggil tiga lagi saksi. Saksi pembelaan semuanya adalah empat orang,” katanya.

Remaja itu memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi pada 2 dan 3 Mac lepas.

Pada 28 Januari lalu, Hakim Datuk Azman Abdullah memerintahkan remaja terbabit membela diri atas pertuduhan itu manakala rakannya yang juga berumur 19 tahun dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan sama.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara 4.15 pagi dengan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun, namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Tragedi kebakaran menyayat hati jam 5.15 pagi itu, menyebabkan seramai 21 pelajar dan dua warden maut, selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu. – BERNAMA

Berita Harian X