Selasa, 21 April 2020 | 4:38pm

PKP: Penghantar makanan serang polis hadapi 5 tuduhan

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar makanan yang tular di media sosial selepas menyerang anggota polis baru-baru ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini atas lima pertuduhan.

Aliff Ameruddin, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menghalang tugas penjawat awam selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar.

Bagi pertuduhan ingkar PKP, dia dipenjara sebulan dari tarikh tangkap iaitu 17 April manakala kesalahan menghalang tugas anggota polis, mahkamah menetapkan 10 Jun untuk menjatuhkan hukuman.

Lelaki itu didakwa melanggar PKP dengan bergerak dari satu kawasan tempat jangkitan lain mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Cahaya 2/3A, Pandan Cahaya di sini, pukul 10 pagi, 17 April lalu.

Aliff juga mengaku bersalah atas dakwaan menghalang tugas anggota polis Mohd Zainuddin Kassim dengan tidak memberi kerjasama apabila diminta mengemukakan kad pengenalan di tempat dan waktu sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu yang merupakan anggota polis itu menjalankan tugas rondaan PKP di kawasan terbabit, dia ternampak tertuduh dalam keadaan mencurigakan sedang menolak sebuah motosikal lalu pengadu menghampiri lelaki itu dan bertanyakan kepadanya tujuannya keluar dan turut meminta kad pengenalannya.

Tertuduh memarahi pengadu serta mempertikaikan mengapa meminta kad pengenalannya dan seterusnya dia pula meminta kad kuasa pengadu sambil menjerit kepada anggota polis itu.

Timbalan Pendakwa Raya SSangitaa memohon hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh serius yang dilakukan ketika PKP manakala tertuduh merayu supaya dia dikenakan hukuman penjara minimum kerana tidak mampu membayar denda.

Tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan iaitu menyerang anggota polis berkenaan yang sedang menjalankan kewajipannya sebagai penjawat awam dan mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-dua dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sampai setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan menggunakan perkataan yang kurang sopan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukannya di tempat dan masa sama. Mahkamah menetapkan 17 Jun bagi sebutan semula semua kes berkenaan.

Pada 17 April lalu, video berdurasi kira-kira empat minit memaparkan seorang lelaki memukul menyerang polis serta enggan memberi kerjasama ketika disoal siasat, tular di laman sosial. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X