Ahad, 26 April 2020 | 5:16pm

Guna taktik edar dadah awal pagi

LANGKAWI: Mengedar dadah pada awal pagi, menjadi taktik terbaharu tokan dadah di daerah ini, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi tetapi berjaya dihidu polis.

Justeru, modus operandi tiga lelaki berusia antara 21 dan 26 tahun itu berjaya dihidu polis apabila ditahan, di Kampung Pasir Hitam di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata tiga lelaki itu ditahan sepasukan anggota polis hasil maklumat orang awam pada 3.19 pagi.

"Tangkapan dilakukan di hadapan sebuah rumah dan polis berjaya merampas satu plastik lutsinar berisi heroin seberat 26.26 gram (g).

"Turut dirampas tiga keratan straw (heroin, 1.03 g), dan tujuh plastik lutsinar (syabu, 2.66 g)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, ketiga-tiga suspek juga gagal memberikan alasan munasabah untuk berada di luar rumah dalam tempoh pelaksanaan PKP.

"Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah morfin dan dua daripadanya turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Ketika siasatan, mereka mengaku mendapat bekalan dadah daripada lelaki dikenali Mat Fendi yang menetap di Kampung Sungai Itau, di sini," katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman dan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2020.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X