Jumaat, 1 Mei 2020 | 9:47am

5 wanita ingkar PKP, disyaki terbabit parti liar

ALOR SETAR: Polis menyerbu dua unit sebuah apartment dan menahan 11 individu berusia 20-an kerana dipercayai terbabit dengan parti liar di Jalan Langgar, malam tadi.

Dalam serbuan jam 9 malam itu, kesemua mereka yang terdiri dari enam lelaki dan lima wanita itu dikatakan hendak keluar dari apartment berkenaan namun tidak sempat apabila anggota dari pasukan Cantas, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar tiba dan menahan mereka.

Ketika ditahan, mereka memberi alasan datang ke situ untuk berbuka puasa bersama selain untuk melepak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata hasil siasatan mendapati kesemua mereka tidak bekerja dan menyewa di situ sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, kesemua mereka adalah penduduk tempatan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Anggota kami bertindak selepas menerima aduan awam berhubung kehadiran kesemua individu terbabit yang didakwa menyebabkan bising dan kegiatan mereka yang mencurigakan.

"Maklumat awal mendapati, tiga unit apartment itu disewa mereka namun hanya dua unit berkenaan diserbu manakala sebuah lagi sudah kosong," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, malam tadi.

Mohd Redzuan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati tujuh daripadanya positif dadah jenis methapetamin dan dua lagi positif ketamin.

Beliau berkata, dua lagi iaitu masing-masing wanita bebas dari pengambilan dadah.

"Mereka juga didapati ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berkumpul di kawasan itu.

"Kesemua individu yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan Peraturan 6(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

Mohd Redzuan berkata, selain itu sembilan individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua mereka kini ditahan di lokap IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut," katanya.

Sebahagian daripada 11 individu yang berusia 20-an ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam serbuan di dua unit sebuah apartmen di Jalan Langgar. - NSTP/Zuliaty Zulkifli
Sebahagian daripada 11 individu yang berusia 20-an ditahan polis kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam serbuan di dua unit sebuah apartmen di Jalan Langgar. - NSTP/Zuliaty Zulkifli
Berita Harian X