Isnin, 4 Mei 2020 | 1:41pm
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Pemandu langgar Koperal Safwan direman 4 hari

KAJANG: Pemandu Toyota Hilux yang memandu dalam keadaan mabuk hingga merempuh seorang anggota polis di sekatan jalan raya Op Covid-19 berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), semalam direman empat hari.

Suspek berusia 44 tahun itu direman sejak semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek yang disyaki di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata buat masa ini, siasatan akan dilakukan bahagian trafik terlebih dahulu mengikut seksyen berkenaan.

"Pada masa sama, kami juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana dengan cuai menyebabkan kematian dalam kes terbabit," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Fadzil berkata, suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Siasatan bagi kes ini akan dijalankan serentak oleh pihak trafik dan Jabatan Siasatan Jenayah.

"Setakat ini, reman empat hari berkenaan membabitkan bahagian trafik dan kami akan memohon untuk menyambung reman sebaik tempoh berkenaan tamat sekiranya perlu.

"Dari segi keadaan suspek, saya dimaklumkan sehingga semalam dia masih menerima rawatan di Hospital Kajang atas kecederaan dialaminya dalam kejadian itu," katanya.

Berita Harian X