Selasa, 5 Mei 2020 | 5:03pm

Dua tentera ditahan miliki senjata api tiruan, ubah suai

SHAH ALAM: Dua anggota tentera dari Kem Perdana Sungai Besi antara tujuh ditahan kerana memiliki senjata api tiruan dan senjata api diubah suai dalam Ops Laras Rimba pada 23 dan 24 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata tangkapan itu susulan aduan orang awam yang mendengar bunyi letupan dari arah semak dan melihat dua lelaki bersama selaras senapang di Hulu Selangor pada 22 April lalu.

"Hasil maklumat itu, Polis Kontinjen Selangor menjalankan beberapa siri serbuan dan tangkapan di Hulu Selangor, Klang Selatan, Shah Alam, Gombak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan Mualim di Perak.

"Hasil tangkapan itu polis menahan tujuh lelaki berumur 33 hingga 51 tahun membabitkan dua tentera, dua pekebun, seorang pemandu lori, seorang kontraktor dan seorang tukang besi.

"Polis percaya, tukang besi terbabit dipercayai individu yang bertanggungjawab mengubah suai senjata api dan membuat senapang angin. Seorang pekebun mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Noor Azam berkata, hasil serbuan dan tangkapan itu polis merampas pelbagai senjata api dan peluru.

"Polis merampas tiga senapang patah buatan sendiri, tujuh senapang gas buatan sendiri, 169 butir peluru hidup, lima kotak bebola galas besi (ball bearing), lapang kelongsong peluru dan lapan telefon bimbit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan rampasan senjata api dan peluru tiruan yang telah diubah suai ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. - Foto Muhd Asyraf Sawal

"Peluru diperoleh dari dua suspek yang masih bebas, yang mana mereka mempunyai permit dan lesen senjata apa yang sah.

"Mereka menggunakan permit yang ada untuk membeli peluru secara sah dan membenarkan peluru itu digunakan oleh ahli kumpulan ini," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka dan kini masih dalam siasatan mengikut Akta Senjata Api 1960 dan Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Katanya, hasil siasatan mendapati kumpulan itu aktif dalam kegiatan pemburuan haram sekitar Selangor, Perak dan Pahang.

"Binatang yang menjadi buruan kumpulan ini adalah babi hutan, rusa, kijang dan ayam hutan tetapi setakat ini tiada sebarang rampasan haiwan dibuat kerana sudah dibahagikan sesama mereka, dan secara tidak langsung menghalau babi hutan dari kebun," katanya.

Beliau juga menasihatkan orang awam supaya tidak membeli, menyimpan dan menggunakan apa-apa jenis senjata yang boleh digunakan sebagai senjata api sama ada 'airsoft', buatan sendiri atau senjata api sebenar tanpa lesen atau permit yang sah.

"Tindakan tegas boleh diambil mengikut Akta Senjata Api 1960 atau Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan rampasan senjata api dan peluru tiruan yang telah diubah suai ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menunjukkan rampasan senjata api dan peluru tiruan yang telah diubah suai ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Berita Harian X