Selasa, 19 Mei 2020 | 12:52pm
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan

Permohonan Ahmad Maslan batalkan tuduhan didengar 19 Jun

KUALA LUMPUR: Permohonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, untuk membatalkan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan didengar 19 Jun ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria, memberitahu BERNAMA tarikh baharu itu menerusi mesej aplikasi WhatsApp.

"Pada 12 Mei lalu, pihak mahkamah menghubungi pihak pendakwaan dan peguam untuk memaklumkan tarikh baharu bagi mendengar permohonan itu.

"Mahkamah menetapkan 19 Jun ini bagi mendengar permohonan tertuduh dan untuk pengurusan kes," katanya.

Beliau berkata mahkamah sebelum ini menetapkan 12 Jun untuk mendengar permohonan dan pengurusan kes berkenaan namun tarikh itu telah ditukar.

Pada 21 Januari lalu, Ahmad, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib pada 2013 kepada LHDN, dan memberi penyataan palsu kepada SPRM, tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan RM2 juta yang diterima daripada Najib dalam pendapatan sebenarnya kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu didakwa menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad dituduh memberi penyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Berita Harian X