Selasa, 19 Mei 2020 | 8:25pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Ada isu tidak direkod elak serangan terhadap Najib'

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, beberapa perkara yang dibincang dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak direkodkan supaya tidak digunakan sebagai 'peluru tambahan' dalam serangan politik ke atas Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata Ahli Lembaga Pengarah berkongsi pandangan untuk sentiasa berhati-hati terhadap apa yang dimasukkan dalam minit mesyuarat.

Beliau yang juga saksi pendakwaan kesembilan berkata, ia bagi mengelak daripada wujud isu digunakan terhadap Najib.

Shahrol Azral berkata demikian ketika menjawab soalan balas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, jika beliau ada memaklumkan kepada Lembaga Pengarah mengenai kesukaran mendapatkan dokumen 1MDB untuk diaudit oleh firma audit Ernst & Young (EY).

Peguam bertanyakan soalan itu berikutan ada beberapa item yang tidak direkodkan dalam minit mesyuarat.

Ditanya mengapa EY tidak bertahan lama sebagai juruaudit 1MDB, Shahrol Azral berkata, pada 2009 melalui Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), berlaku perselisihan faham mengenai terma penilaian syarikat usaha sama 1MDB-PSI (PetroSaudi International) JV ke dalam penyata kewangan syarikat.

Shahrol Azral tidak mengingati siapa yang memberikan idea untuk tidak melanjutkan perkhidmatan EY, bagaimanapun menegaskan ia bukan datang daripadanya.

Menurut saksi itu, ada cadangan menggantikan firma audit itu dengan KPMG dan tidak menolak kemungkinan ia daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Katanya, beliau pernah membangkitkan mengenai isu kesukaran mendapatkan dokumen kepada Najib, bagaimanapun perkara itu tidak direkodkan.

"Saya dan bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wak Kamaruddin, membawa perkara itu kepada pejabat PM (Perdana Menteri) antara tahun 2009 dan 2010," katanya.

Muhammad Shafee kemudian mencadangkan saksi selaku CEO cuba menyembunyikan isu yang dibangkitkan EY dengan menukar syarikat audit, namun Shahrol Azral menafikan cadangan peguam itu.

Berita Harian X