Khamis, 21 Mei 2020 | 6:01pm

Didenda RM3,500 miliki mercun, bunga api

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Tertuduh, Zulhafizie Ismail, 24, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Nordiana Abd Aziz selepas Zulhafizie mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Mengikut pertuduhan, Zulhafizie didakwa memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api di sebuah bengkel di Kuala Nerus, jam 10.40 malam pada 19 Mei lalu.

Zulhafizie memiliki pelbagai jenis mercun seperti lima kotak mercun bertulis Single Shot, lima bungkus mercun jenama Happy Boom Red Firecrackers, dua kotak mercun jenama Happy Boom Ground Spin dan tiga kotak bunga api bertulis B12-122K.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan serbuan di sebuah bengkel di Kuala Nerus.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di dalam sebuah bilik di dalam bengkel berkenaan sebelum tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X