X
Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:24am

Polis minta saksi kejadian pemandu amuk tampil bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Polis meminta saksi kejadian seorang pemandu pacuan empat roda mengamuk dan merempuh orang awam serta gerai di kawasan tapak peniaga di Bukit Sentosa, dekat Hulu Selangor, semalam supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata setakat ini pihaknya sudah menerima lima laporan polis berhubung kejadian yang menyebabkan lima orang awam cedera itu.

"Pihak polis meminta mana-mana saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan kes ini.

"Selain daripada itu, pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian negatif ke atas insiden itu dan meletakkan sepenuh keyakinan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, suspek yang ditahan semalam akan direman hari ini, di Mahkamah Shah Alam.

"Suspek bekerja sebagai seorang pemborong tayar dan berumur 32 tahun. Semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Hasil siasatan awal, kita mendapati suspek dipercayai dalam keadaan mabuk semasa kejadian dan telah melanggar gerai serta pengunjung yang berada ditempat kejadian," katanya lagi.

Dalam kejadian itu, katanya dua kereta, dua motosikal serta dua khemah penjaja dilaporkan rosak dalam kejadian itu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian pada jam 6.35 petang itu, lima individu termasuk seorang wanita turut dilaporkan cedera akibat dirempuh kereta suspek.

Kesemua mangsa berusia antara 40 hingga 50 tahun itu dikatakan berada dalam keadaan stabil.

Cermin sisi kereta diketuk, dikatakan menjadi punca suspek mengamuk dan bertindak sedemikian.

Berita Harian X