Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:54am
Polis menyiasat lokasi kejadian seorang wanita masalah mental membunuh ibunya di Lahar Kepar, Pulau Pinang - Foto NSTP/ihsan PDRM
Polis menyiasat lokasi kejadian seorang wanita masalah mental membunuh ibunya di Lahar Kepar, Pulau Pinang - Foto NSTP/ihsan PDRM

Wanita warga emas mati dibunuh anak perempuan

KEPALA BATAS: Seorang wanita warga emas maut dipercayai akibat dibunuh anak perempuannya yang mengalami masalah sakit mental di sebuah rumah dekat Lahar Kepar, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 90 tahun didatangi anak perempuannya berusia 53 tahun yang tidak berpuas hati dengannya lalu berlaku pertengkaran di antara mereka sebelum muka wanita warga emas itu dihentak dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata ketika kejadian cucu perempuan mangsa yang juga anak kepada suspek berusia 16 tahun terdengar pertengkaran ibu dan neneknya.

"Dia berada dalam bilik kerana ibunya melarang dia keluar namun terdengar ibunya mengugut mahu membunuh neneknya sambil terdengar bunyi bising barang jatuh.

"Kerana berada dalam ketakutan dia menghubungi sepupunya meminta bantuan sebelum dia keluar melalui pintu belakang rumah tetapi tidak nampak neneknya kerana gelap memandangkan lampu tidak dipasang manakala ibunya berada di luar rumah.

"Tidak lama kemudian ibu saudaranya yang juga anak bongsu mangsa datang dan masuk melalui pintu belakang, terkejut sebaik membuka suis lampu menemui ibunya sudah tidak bernyawa," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, anak bongsu mangsa kemudian menghubungi petugas perubatan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

"Ahli keluarga memaklumkan suspek mempunyai masalah penyakit mental dan masih menjalani rawatan psikiatrik.

"Suspek dan mangsa dikatakan kerap bergaduh kerana perselisihan faham," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat manakalasuspek pula dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan mental sebelum polis menahannya bagi siasatan selanjutnya.

Berita Harian X