Sabtu, 23 Mei 2020 | 12:45pm
 Op Benteng akan dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan semula pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui jalan tikus di Selat Melaka selepas sambutan Aidilfitri.FOTO/FAIL NSTP
Op Benteng akan dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan semula pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui jalan tikus di Selat Melaka selepas sambutan Aidilfitri.FOTO/FAIL NSTP

COVID-19: Op Benteng dipertingkat kekang PATI

ALOR GAJAH: Op Benteng akan dipertingkatkan bagi mengekang kemasukan semula pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui jalan tikus di Selat Melaka selepas sambutan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Madya Maritim Datuk Ibrahim Mohamed, berkata PATI akan menyeludup masuk untuk kembali berkerja selepas pulang berhari raya.

"Ini memandangkan kegiatan industri telah beroperasi semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan lebih membimbangkan jika mereka berjaya bolos ke negara ini dengan membawa virus COVID-19.

"Justeru itu, kawalan di sempadan perairan negara akan terus dipertingkat menerusi Op Benteng ketika perayaan Aidilfitri terutama di lokasi titik panas pendaratan iaitu di Selat Melaka," katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Benteng di Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau melawat KD Gagah Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berperanan sebagai kapal induk dalam Op Benteng.

Hadir sama Laksamana Pertama TLDM Ruzelme Ahmad Fahmy dan Pengarah Bahagian Operasi dan Strategik TLDM Kept Rosli Abd Ghani.

Op Benteng diaktifkan di bawah National Task Force yang diterajui oleh ATM, PDRM dan Maritim Malaysia untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

Ibrahim berkata, tumpuan utama dalam operasi bersepadu itu adalah mengesan dan menahan tekong laut dan darat yang memainkan peranan dalam mengaturkan perjalanan keluar dan masuk PATI ke negara ini.

Di KUALA TERENGGANU, Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, berkata rondaan pengawasan di perairan negeri itu akan dipergiat bagi mencegah bot nelayan asing menceroboh perairan negara ketika musim perayaan Aidilfitri.

"Sebanyak empat buah kapal dan lima buah bot akan digerakkan untuk melaksanakan rondaan di perairan Terengganu secara bergilir-gilir, kita juga menerima bantuan daripada Maritim Johor dengan meletakkan kapal KM Tegas di perairan Terengganu ketika musim perayaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pihaknya berjaya mengusir keluar kira-kira 60 bot nelayan asing Vietnam dari perairan sempadan Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac melalui Operasi COVID-19 Khas Laut.

Beliau juga meminta komuniti maritim terus menyalurkan maklumat dan aduan mengenai pencerobohan nelayan asing ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X