Selasa, 26 Mei 2020 | 10:32pm
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu melakukan pemeriksaan di beberapa premis di Kemaman. - Foto ihsan KPDNHEP
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu melakukan pemeriksaan di beberapa premis di Kemaman. - Foto ihsan KPDNHEP

Dikompaun RM10,000 jual pelitup separuh muka melebihi harga kawalan

KUALA TERENGGANU: Pemilik sebuah kedai runcit di Kemaman dikompaun RM10,000 kerana menjual pelitup separuh muka dengan harga RM2.40 sekeping.

Dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari tadi, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu turut merampas 70 keping pelitup separuh muka tiga lapisan membabitkan rampasan bernilai RM168.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, berkata pemeriksaan mendapati kedai runcit milik wanita berusia 45 tahun itu menjual pelitup separuh muka tiga lapisan dengan harga RM2.40 sekeping berbanding harga kawalan RM1.50.

"Harga jualan runcit bagi topeng muka yang dikawal ialah RM0.15 sekeping bagi jenis satu lapis, RM0.20 (dua lapisan), RM1.50 (tiga lapisan) dan RM6 (N95).

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Saharuddin berkata, KPDNHEP Terengganu menjalankan 5,798 pemeriksaan dengan 87 kes membabitkan nilai kompaun sebanyak RM33,000.

Katanya, sebanyak 205 aduan seperti transaksi dalam talian (88 kes), harga (56 kes) dan barang kawalan ( 26 kes) yang diterima daripada orang awam sudah diambil tindakan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau kemusykilan boleh menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Terengganu dan semua cawangan yang beroperasi daripada jam 8 pagi hingga 6 petang," katanya.

Berita Harian X