Isnin, 1 Jun 2020 | 7:17pm
JKDM mematahkan cubaan menyeludup 17 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1.19 juta. - Foto JKDM
JKDM mematahkan cubaan menyeludup 17 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1.19 juta. - Foto JKDM

Cubaan seludup 17 juta batang rokok gagal

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 17 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1.19 juta dengan penahanan dua kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, dekat sini, Khamis lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) JKDM, Datuk Johari Alifiah, berkata kejayaan itu adalah hasil pemantauan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) agensi berkenaan dengan kerjasama Cawangan Narkotik.

Katanya, hasil pemeriksaan awal di pelabuhan ke atas dua kontena berukuran 12.19 meter pasukan berkenaan menemui rokok jenama Zon King dan U2 dimuatkan di dalamnya.

"Pemeriksaan ke atas Dokumen Perkapalan (Bill Of Lading) dan Daftar Muatan Kapal (K4) menunjukkan dagangan dalam dua kontena berkenaan diikrarkan sebagai bahan buangan aluminium dan ia diimport dari Ho Chi Minh City, Vietnam.

"Siasatan awal juga mendapati syarikat pengimport tidak mempunyai permit import yang sah, selain tiada pengiktirafan borang import (K1) dibuat oleh pengimport ke atas dagangan berkenaan.

"Kedua-dua kontena berkenaan didapati tiba di Pelabuhan Pasir Gudang pada sehari sebelum Aidilfitri lalu

"Jumlah rokok yang dirampas berjumlah 17 juta batang yang dianggarkan bernilai RM1.19 juta dengan jumlah duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM9.08 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, siasatan ke atas syarikat pengimport sedang giat dilakukan dan dalang di sebalik sindiket berkenaan juga sedang dikesan.

"Sehingga kini, hanya syarikat perkapalan sudah disoal siasat bagi membantu siasatan.

"Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 kerana disyaki melakukan kesalahan terbabit dalam mengimport barang tak berkastam atau barang larangan selain memiliki barang yang mana duti eksais belum dibayar," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976.

Johari berkata, orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Berita Harian X