Isnin, 1 Jun 2020 | 8:45pm
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Pendakwaan tiada bukti Najib kawal pemindahan RM42 juta

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa Datuk Seri Najib Razak mempunyai kawalan terhadap proses pemindahan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun peribadinya.

Peguam Harvinderjit Singh dalam hujahannya di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata pendakwaan juga tidak dapat membuktikan secara konklusif bahawa Najib mengetahui wang berkenaan berasal daripada dana SRC.

Peguam itu berkata, ia adalah kerana kes pendakwaan kini bersandar kepada jawapan yang diperoleh daripada tertuduh ketika perbicaraan di peringkat bela diri. Ia menyimpang daripada keputusan prima facie terhadap anak guamnya yang diputuskan oleh mahkamah apabila beliau (Najib) diarahkan membela diri.

Kes utama pendakwaan ialah tertuduh mempunyai penguasaan ke atas dana SRC dan didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Azlin Alias dalam pemindahan wang itu.

Bagaimanapun, menurut peguam itu, tuduhan yang dikenakan adalah Najib didakwa melakukan kesalahan pecah amanah jenayah, dan ia tidak menyatakan mengenai konspirasi.

"Apa yang berlaku dalam kes ini ialah pihak pendakwaan menyesuaikan kesnya," katanya.

Harvinderjit Singh berkata, keseluruhan kes pendakwaan adalah berdasarkan kepada pemeriksaan balas dan bukannya bukti utama.

Ketika peringkat bela diri, pihak pendakwaan tidak boleh memperkenalkan bukti baharu melalui jawapan daripada hasil pemeriksaan balas tertuduh.

Harvinder juga berhujah bahawa terdapat keraguan sama ada wang RM42 juta yang dipindah masuk ke dalam akaun Najib adalah sebahagian daripada RM4 bilion yang dipinjamkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd.

Katanya, manipulasi ke atas akaun SRC sudah berlaku sejak Julai 2014 lagi. Tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa Najib menyalahgunakan dana SRC dan menyebabkan beberapa individu menyeleweng dana berkenaan.

"Kes ini bukan membabitkan wang RM42 juta yang berada dalam akaun tertuduh, sebaliknya ia adalah kes di mana Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) mengambil wang RM170 juta dan bersekongkol bersama Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu dan Pengarah Kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Terrence Geh.

"Jho Low membawa keluar wang daripada SRC sedangkan beliau sendiri tidak berada dalam syarikat itu... anda tidak boleh mendakwa tertuduh melakukan kesalahan itu dengan individu lain," katanya.

Menurut peguam itu, Joanna melalui keterangannya tidak membayangkan bahawa bekas perdana menteri itu mengetahui bahawa akaunnya tidak mempunyai baki mencukupi.

Mengimbas kembali sesi pemeriksaan balas terhadap Yu, Harvinderjit berkata, saksi itu menyatakan bahawa Jho Low adalah individui yang hanya akan bertindak balas apabila menghadapi sesuatu masalah.

Joanna beranggapan bahawa Jho Low tidak berhubung dengan Najib membabitkan urusan berkaitan transaksi akaun peribadi beliau. Keterangan saksi itu tidak selari dengan kes pendakwaan bahawa Najib adalah dalang di sebalik sejumlah wang yang banyak di dalam akaunnya.

Tambahnya, Jho Low menggunakan Najib sebagai 'pelindung' untuk menyalurkan keluar RM293 juta daripada dana SRC.

Tindakan membelanjakan RM42 juta yang dipindah masuk ke dalam akaun peribadi, tidak membawa kepada satu kesalahan pecah amanah. Pihak pendakwaan perlu membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa ia adalah satu kesalahan pecah amanah jenayah.

Berita Harian X