Isnin, 1 Jun 2020 | 9:15pm
Cermin hadapan kereta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol pecah dipercayai dibaling bata angkara perbuatan khianat. - Foto Ihsan Fahmi Zainol
Cermin hadapan kereta Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol pecah dipercayai dibaling bata angkara perbuatan khianat. - Foto Ihsan Fahmi Zainol

Cermin kereta Ketua AMK Pulau Pinang kena pecah

BUKIT MERTAJAM: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol terkejut apabila mendapati cermin hadapan keretanya yang diletakkan di hadapan rumah di Kampung Taman Baru, Seberang Jaya, di sini pecah.

Dalam kejadian jam 9 pagi tadi, Fahmi yang juga Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mahu pergi ke tempat kerja sebelum menyedari cermin hadapan kereta Toyota Vios miliknya pecah dipercayai akibat dibaling dengan bata.

Fahmi berkata, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak sebagai dalang atau mengesyaki motif kejadian, sebaliknya melaporkannya kepada polis untuk siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata mangsa yang berusia 28 tahun menanggung kerugian RM500 akibat kejadian itu.

"Mangsa memaklumkan dia tidak pernah berhutang dan bermusuh dengan sesiapa. Bagaimanapun disebabkan dia aktif dalam politik, beliau bimbang sekiranya ada pihak tidak berpuas terhadapnya, lalu membuat laporan polis," katanya.

Shafee berkata, tiada apa-apa barangan milik mangsa yang hilang dalam kejadian itu.

Polis sedang mengesan pelaku perbuatan khianat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X