Selasa, 2 Jun 2020 | 8:49am
Pegawai Pemerintah Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Superintendan Md Dali Jamil pada sidang media dalam OP Benteng COVID. - Foto NSTP/Amran Hamid
Pegawai Pemerintah Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara, Superintendan Md Dali Jamil pada sidang media dalam OP Benteng COVID. - Foto NSTP/Amran Hamid

PGA rampas 6.5 tan ketum sepanjang Mei

PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas lebih 6.5 tan daun ketum bernilai lebih RM196,650 bersama 520 botol ubat batuk bernilai RM4,680 sepanjang Op Benteng COVID-19, Mei lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Briged Utara, Superintendan Md Dali Jamil, berkata seramai 10 individu ditahan pihaknya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, rampasan berkenaan adalah yang terbesar dilakukan dalam Op Benteng COVID-19 sejak ia dilaksanakan.

"Daripada 10 tangkapan, seramai tujuh suspek didapati positif dadah jenis syabu dan telah dihukum di mahkamah.

"Kita turut merampas empat kenderaan membabitkan sebuah pacuan empat roda, dua kereta dan motosikal bernilai RM63,050," katanya pada sidang media di Padang Besar di sini, petang semalam.

Md Dali berkata, pihaknya turut menahan 11 lelaki, termasuk sembilan warga Thailand kerana terbabit dengan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala bagi tangkapan mengikut Akta Imigresen 1959/1963, dua lelaki dikesan cuba keluar dari negara ini secara haram melalui lorong tikus.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga seramai 12 individu ditahan atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Berita Harian X