Selasa, 2 Jun 2020 | 12:41pm

3 pegawai undang-undang Pulau Pinang direman

ALOR SETAR: Tiga pegawai undang-undang Pulau Pinang termasuk seorang ketua jabatan, direman tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM500,000.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas mendapat permohonan daripada Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping.

Berikutan itu, suspek pertama berusia 42 tahun direman enam hari dan dua lagi suspek berusia 29 dan 52 tahun direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Semalam, SPRM Kedah menahan tiga suspek berkenaan di Pulau Pinang dan di Pejabat SPRM Kedah selepas mereka dipercayai meminta wang rasuah berjumlah RM500,000 dan menerima wang RM100,000.

Anggota SPRM membawa seorang pegawai undang-undang negeri Pulau Pinang ke Mahkamah Majistret bagi mendapat perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM500,000. - NSTP/Amran Hamid

Wang itu sebagai sogokan bagi memastikan kes komersial yang dilaporkan seorang individu awam dituduh di mahkamah.

Pihak SPRM yang melakukan pemeriksaan di kediaman dan pejabat ketiga-tiga suspek semalam, turut menemui sejumlah wang.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap dalam kenyataan malam tadi, meminta orang ramai yang menjadi mangsa kegiatan berkenaan tampil bagi membantu siasatan.

Anggota SPRM mengiringi dua pegawai undang-undang negeri Pulau Pinang ke Mahkamah Majistret bagi mendapat perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM500,000. - NSTP/Amran Hamid

Berita Harian X